LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Saya dan adik sudah tidak sabar mahu kembali ke sekolah," kata Mohamad Azwan Abdullah, 16.

Mohamad Azwan berkata, dia dan adiknya Nur Asyikin Hadi, 15, berasa bagaikan mereka bermimpi apabila hasrat untuk kembali bersekolah menjadi kenyataan sekaligus dapat mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Katanya, dia dan adiknya, Nur Asyikin Hadi, 15, akan memulakan sesi persekolahan pada Ahad hadapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong.

"Siapa yang tidak gembira dan bersyukur apabila impian saya dan adik untuk kembali bersekolah menjadi kenyataan hasil usaha pelbagai pihak selepas berita kami mendapat liputan akhbar.

"Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu saya dan adik dengan dengan pemberian pelbagai bantuan serta menguruskan kemasukan semula kami ke sekolah. Hanya Allah SWT saja yang mampu membalas jasa mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong menjadikan pondok kecil serta usang sebagai tempat mereka berteduh daripada hujan dan panas, sejak lebih lima tahun lalu.

Mohamad Azwan dan Nur Asyikin terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dan kini hanya menumpang kasih datuk serta nenek yang sudah tua.

Ayah tiri mereka, Hadi Roni meninggal dunia pada 2014 selepas terbabit kemalangan dan tidak berapa lama selepas itu, ibunya, Rusni Yusof, pula meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.

Selepas itu Mohamad Azwan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga untuk menjaga adik, namun disebabkan kesempitan hidup, adik bongsu, Mohd Aliff, 12, kini dijaga keluarga sebelah arwah ayahnya.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, beliau mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM50 seminggu yang hanya sekadar cukup untuk belanja makan dia dan adiknya.

Mohamad Azwan berkata, dia akan menggunakan peluang yang diberikan ini untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan membawa kami keluar daripada belenggu kemiskinan seterusnya mengubah kehidpuan ke arah lebih selesa.

"Semalam adalah hari yang cukup menggembirakan bagi kami selepas di bawa ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk menyelesaikan urusan persekolahan sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) pada minggu hadapan.

"Sebelum ini disebabkan kemiskinan saya dan adik terpaksa melupakan alam persekolahan walaupun

kami teringin sangat ke sekolah seperti rakan lain kerana mahu membina masa depan yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 9:47 AM