Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Program vaksinasi Covid-19 dianjurkan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) mendapat sambutan memberangsangkan daripada golongan orang kurang upaya (OKU) buta dan pekak apabila 3,300 individu berjaya divaksin, termasuk yang bakal menerima pada Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB George Thomas berkata, program vaksinasi yang ditumpukan terhadap golongan itu di Lembah Klang dibuka sejak Julai lalu.

"Kebanyakan penerima vaksin dalam kalangan OKU buta dan pekak ini yakin untuk divaksin selepas mendengar reaksi positif daripada rakan terdekat mereka.

"Hari ini kami memberikan vaksin kepada OKU buta yang sudah menerima dos pertama mereka bulan lalu, manakala baki golongan OKU pekak divaksin Jumaat ini," katanya ketika ditemui di di Kompleks MAB, di sini, hari ini.

Selain memberikan vaksin golongan OKU buta dan pekak di Lembah Klang, MAB turut menerima lima peratus daripada golongan itu yang tinggal di luar Lembah Klang dan berdaftar dengan MAB untuk divaksin.

Penerima vaksin, Muhammad Shukur Saaban, 59, mengakui ada mendengar persepsi negatif mengenai vaksin Covid-19, namun nekad menerima suntikan selepas mendapat sokongan keluarga.

"Walaupun mempunyai masalah penglihatan, saya bersyukur isteri ada untuk membantu pendaftaran.

"Proses pemberian vaksin di MAB juga berjalan dengan pantas, ia sangat memudahkan kami semua," katanya.

Sementara itu, Noor Nadia Amran, 33, berkata, dia berasa lebih selamat selepas menerima vaksin menerusi program vaksinasi Covid-19 di MAB.

"Sebelum ini kalau pergi kerja, saya akan menjaga jarak antara satu sama lain kerana virus Covid-19 ini kita tidak nampak.

"Walaupun kita dengar banyak persepsi negatif mengenai vaksin, saya tetap menerima dan selebihnya kita tawakal kepada Allah SWT," katanya yang hadir menerima vaksin bersama adiknya, Noor Suhaida Amran, 23, seorang OKU buta ditemani suami Sulaiman Abdul Shukor, 36.

Sementara itu, Lokesh Srinath, 29, berkata, melihat kepada kadar pemberian vaksin yang semakin meningkat dalam negara, dia yakin orang ramai semakin mendapat pendedahan mengenai kebaikan vaksin.

"Bagi kesejahteraan bersama, saya yakin kita perlu mendapatkan vaksin kerana cepat atau lambat, vaksin ini penting untuk norma baharu dan masa depan bersama," katanya.

Penerima vaksin Orang Kurang Upaya (OKU), Stephen Noor Anak Enneng hadir menerima vaksin dose kedua melalui termujanji secara jumpa terus (walk in) sempena Program Imunisasi covid 19 kebangsaan untuk orang buta dan pekak di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Brickfields. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Penerima vaksin Orang Kurang Upaya (OKU), Stephen Noor Anak Enneng hadir menerima vaksin dose kedua melalui termujanji secara jumpa terus (walk in) sempena Program Imunisasi covid 19 kebangsaan untuk orang buta dan pekak di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Brickfields. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:03 PM