POLIS bersama beberapa agensi mengadakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa kilang sekitar Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
POLIS bersama beberapa agensi mengadakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa kilang sekitar Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Surat kebenaran operasi yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi tujuan perubatan tetapi kilang menghasilkan barangan plastik.

Begitulah taktik yang digunakan seorang pemilik kilang di Taman Kerapu di sini, untuk membolehkan perusahannya itu dapat beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh (SPP) yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bagaimanapun, taktiknya itu terbongkar selepas pihak polis bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengadakan pemeriksaan pada 9.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan pemilik kilang berkenaan jelas menunjukkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Pada masa sama, pemilik kilang juga gagal memastikan dua pekerja warga Indonesia mengimbas kod QR MySejahtera.

"Berikutan itu, polis mengeluarkan kompaun RM20,000 atas dua kesalahan yang dilakukannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut menahan pekerja warga Indonesia berkenaan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, Noorzainy berkata, MBSP juga turut mengeluarkan kompaun terhadap pemilik kilang kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen pejabat urusan dan tiada lesen MBSP.

"Selain operasi di kilang ini, polis juga mengadakan pemeriksaan di tiga kilang lain di kawasan ini dan kesemuanya didapati mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 8:10 PM