KERTAS siasatan kes Neelofa dan suami sudah dihantar. FOTO FB
KERTAS siasatan kes Neelofa dan suami sudah dihantar. FOTO FB
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kertas siasatan membabitkan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, berkata, kertas siasatan itu dihantar selepas pihak polis memperkemas dan melengkapkan siasatan kes membabitkan pasangan berkenaan merentas negeri.

Katanya, ia berhubung tindakan pasangan suami isteri itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, di sini pada 2 Mei lalu.

"Kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AG) di Putrajaya hari ini," katanya tadi.

Dalam laporan media sebelum ini, Mohd Fazley menjelaskan bahawa siasatan dijalankan membabitkan isu gambar dan video yang membabitkan Neelofa dan Muhammad Haris atau PU Riz itu melanggar SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.

Beliau sebelum ini menegaskan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis turut mengambil keterangan pemilik premis serta pembantu kedai karpet berkenaan.

Neelofa sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.

Perkara berkenaan mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai menjual karpet di Nilai 3.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 7:23 PM