PENIAGA  kedai runcit, Cheong Bee Fong, 37, menunggu pelanggan di premisnya yang lengang di Kuantan.
PENIAGA kedai runcit, Cheong Bee Fong, 37, menunggu pelanggan di premisnya yang lengang di Kuantan.

Kuala Lumpur: Bagi menyokong kelangsungan hidup rakyat dan perniagaan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan kerajaan sedang mengkaji semula semua langkah sedia ada untuk memperkenalkan bantuan tambahan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan turut mengambil kira sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi sehingga fasa keempat seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Melalui perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan (MoF), kita sedia memberi bantuan tambahan dalam tempoh masa terdekat.

"Sebaik sahaja perincian dimuktamadkan, MoF boleh merangka penambahbaikan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebajikan rakyat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada program sebuah stesen televisyen, baru-baru ini.

Mengambil contoh program subsidi upah (PSU), Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga mengkaji semula PSU terutama bagi sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sehingga fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara.

"Setakat ini, kita melanjutkan PSU selama sebulan dan kita beri bantuan bagi sektor yang tidak dapat dibuka bagi fasa ketiga dan keempat. Kita akan kaji bantuan dan pelaksanaan bantuan dan langkah-langkah sedia ada," katanya.

Dilaporkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah meluluskan 330,586 permohonan daripada majikan yang memberi manfaat kepada 2.72 juta pekerja dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM15.04 bilion.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Manfaat menyeluruh semua lapisan rakyat

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan baru-baru ini dirangka dengan teliti dan berperingkat bagi memastikan semua lapisan rakyat mendapat manfaat dalam mendepani kesan jangka panjang pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pengarah Belanjawan Negara Datuk Johan Mahmood Merican berkata, PPN antara sebahagian daripada semua pelan termasuk pakej rangsangan yang diatur kerajaan sejak awal tahun.

Menurutnya, semua elemen kepada PPN sudah mula dirangka dan diatur sejak awal tahun.

"Mungkin apa yang orang ramai nampak, setiap kali kerajaan umum sesuatu pakej, mungkin isunya mereka hanya nampak pakej secara individu dan tidak nampak apa kaitannya antara satu pakej dengan pakej lain.

"Begitu juga dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini, rakyat tidak nampak apa hala tujunya. Namun dalam konteks ini kerajaan sebenarnya menyusun aspek utama untuk semua faham, iaitu bagaimana kita mahu bergerak dari situasi sekarang ke situasi di mana banyak sektor dapat dibuka kembali," katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk Pelan Pemulihan Negara: Kelangsungan Sektor Ekonomi, baru-baru ini.

Johan berkata, PPN tidak dirangka secara terburu-buru kerana apa yang menjadi isu ialah mungkin segala pelan atau pakej dibuat kerajaan tidak disatukan dalam satu dokumen.

"Ini bagi membantu rakyat dan sektor swasta memahami logik di belakang apa yang dibuat kerajaan selama ini," katanya.

Berhubung kebenaran untuk sektor yang dibenarkan beroperasi, Johan berkata, semua negara apabila melaksanakan sekatan pergerakan penuh masih memastikan sektor ekonomi perlu untuk terus berjalan.

"Yang pentingnya untuk kehidupan rakyat. Sekurang-kurangnya keperluan makan dan minum rakyat tidak terjejas, kerana itu sektor pertanian yang mempunyai 1.8 juta pekerja dibenar beroperasi sepenuhnya.

"Begitu juga keperluan utiliti dan telekomunikasi perlu dibenarkan beroperasi untuk memastikan kelangsungan kehidupan seharian," katanya.

Namun pada masa sama katanya, terdapat beberapa sektor yang strategik kepada ekonomi negara yang mana jika ditutup akan bawa kemudaratan jangka panjang.

Ini seperti sektor eksport utama termasuk minyak dan gas atau elektronik di mana sektor elektronik di Malaysia sudah berintegrasi dengan rantaian pembekalan dunia, katanya.

"Ini bermaksud, komputer di Amerika Syarikat bergantung kepada cip dibuat di Malaysia. Jika sektor ini ditutup, bukan saja menggugat penghasilan komputer atau peralatan perubatan di hospital di seluruh dunia.

"Tetapi ia juga menjejaskan masa depan Malaysia dari segi potensi kehilangan pelanggan yang beralih ke negara lain. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan semula pelanggan itu.

"Apabila ini berlaku, ia boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengangguran berpanjangan kepada rakyat kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 8:44 AM