TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Bantuan semasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih dalam proses perincian dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk memastikan langkah seterusnya boleh diperkenalkan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan.

Malah, Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memperincikan lain-lain bentuk bantuan yang akan disalurkan kelak sepanjang pelan pemulihan ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, bantuan sedia ada akan disalurkan secara berterusan termasuklah pakej Pemerkasa Tambahan yang diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat pada Fasa 1 PKP 3.0.

"Kita juga melindungi individu yang hilang pekerjaan daripada semua golongan dan juga mereka yang terjejas di dalam sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Fasa 1, 2 dan 3.

"Sebagai satu bentuk perlindungan daripada masalah kewangan dan aliran tunai, mereka boleh mendapatkan moratorium pinjaman automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

"Kementerian Kewangan juga telah menekankan kepada sektor perbankan supaya mempermudah pelaksanaan bantuan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman kepada mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan," katanya dalam Laporan Laksana ke-58 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, dengan baki RM100 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi serta RM200 bilion dari Belanjawan 2021 masih belum dibelanjakan, Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memperincikan lain-lain bentuk bantuan yang akan disalurkan kelak sepanjang pelan pemulihan ini.

"Bagaimanapun, pencapaian tahap pemvaksinan tetap menjadi kunci kepada strategi keluar bagi PPN dalam membantu membuka sektor terjejas secara berperingkat sepanjang fasa-fasa yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 5:57 PM