PROGRAM Subsidi Upah 4.0 dijangka manfaatkan 2.5 juta pekerja. FOTO BERNAMA
PROGRAM Subsidi Upah 4.0 dijangka manfaatkan 2.5 juta pekerja. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) adalah satu tindakan proaktif yang tepat pada masanya dan melegakan keperitan ekonomi rakyat dalam mendepani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, inisiatif program pengukuhan pasaran buruh seperti Program Subsidi Upah 4.0, Bantuan Kehilangan Pekerjaan dan Elaun Mencari Pekerjaan adalah usaha membantu golongan pekerja dan majikan.

Katanya, golongan peniaga terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut mendapat sokongan secara langsung dan tidak langsung melalui pakej Pemulih.

"Kerajaan melakukan perkara utama yang patut dilakukan. Kini, pihak swasta dan individu perlu memainkan peranan agar usaha dilaksanakan berkesan.

"Semua pihak perlu bersama mengharungi situasi ini dan memainkan peranan masing-masing.

"Kepada pemilik rumah dan premis perniagaan, kemudahan moratorium pinjaman disediakan. Ambil peluang itu dan turunkan manfaat kepada penyewa rumah dan penyewa premis perniagaan.

"Kegagalan berbuat demikian akan mengurangkan keberkesanan ke atas usaha yang kerajaan lakukan dan hanya memanfaat kepada sebelah pihak saja," katanya.

Menurutnya, perlu juga diingatkan bahawa pakej Pemulih bukan penyelesaian mutlak kepada krisis yang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, pemulihan sebenar hanya bertahan lama dan mampan apabila sektor ekonomi kembali beroperasi.

"Dengan hanya sektor ekonomi beroperasi, perniagaan akan berkembang, pekerjaan akan wujud dan pendapatan dapat dijana. 'Kecederaan' akibat pandemik ini hanya dapat dirawat apabila sektor ekonomi kembali beroperasi seperti sedia kala," katanya.


Terdahulu kerajaan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengariskan hala tuju fasa pemulihan sektor kesihatan dan pembukaan sektor ekonomi dan sosial.

Tiga indikator digunakan sebagai penanda aras kepada peralihan fasa dalam PPN iaitu bilangan jangkitan harian Covid-19, kadar penggunaan katil di wad ICU dan peratus penerimaan vaksin.

Jika diamati, ketiga-tiga indikator ini hanya terarah kepada aspek kesihatan sahaja. Umum mengetahui trade-off di kesihatan dan ekonomi.

Beliau berkata, apabila PKP diketatkan bagi membendung penularan Covid-19, kos kepada ekonomi dari aspek perniagaan dan pekerjaan meningkat.

Sebaliknya, apabila PKP dilonggarkan, kos kepada ekonomi akan berkurangan.

"Bersandarkan situasi ini, penanda aras PPN dilihat tidak seimbang kerana indikator ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, kadar pengurangan pendapatan dan kadar penutupan operasi perniagaan sama penting dalam memantau kesihatan ekonomi.

"Perangkaan beberapa minggu lalu menunjukkan kadar jangkitan Covid-19 lebih tidak anjal sedangkan indikator ekonomi menunjukkan situasi sebaliknya.

"Itu belum diambil kira indikator aspek sosial seperti kadar kemurungan. Syukur, kerajaan ambil serius pandangan pelbagai pihak.

"Pengumuman moratorium enam bulan kepada peminjam dan pengeluaran simpanan KWSP secara bulanan adalah antara inisiatif Pemulih yang memberi kesan signifikan dalam membantu meringan beban kewangan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:01 AM