ANGGOTA petugas khas pemantauan dan penguatkuasaan Covid-19 MITI menampal notis penutupan premis di sebuah kilang di Taman Perindustrian Sungai Buloh. FOTO Owee Ah Chun.
ANGGOTA petugas khas pemantauan dan penguatkuasaan Covid-19 MITI menampal notis penutupan premis di sebuah kilang di Taman Perindustrian Sungai Buloh. FOTO Owee Ah Chun.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah melakukan pemeriksaan ke atas 496 kilang, semalam dan daripada jumlah itu, sebanyak 106 kilang diarahkan tutup.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya, sebanyak 24,928 premis sudah diperiksa sejak 14 Januari 2021 yang membabitkan 22,819 premis perniagaan dan 2,109 kilang.

Katanya, sehingga kini, 160 kilang dan 17 premis bukan kilang sudah diarahkan tutup.

"Ia adalah hasil pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan.

"Dalam usaha untuk memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP sepanjang PKP menyeluruh, kerajaan melaksanakan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP diwartakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai statistik jumlah aduan ketidakpatuhan SOP mengikut kategori pula, katanya, sejak 6 Jun lalu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima sebanyak 382 aduan mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan daripada pelbagai kementerian/agensi.

Menurutnya, jumlah aduan tertinggi yang direkodkan adalah membabitkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis pekerjaan iaitu sebanyak 98 aduan, non-essential 77 aduan, dan 60 aduan bagi kategori ketidakpatuhan SOP am.

Sehubungan itu juga, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan boleh disalurkan terus kepada Malaysian Government Call Centre (MyGCC) menerusi talian 03-80008000 atau emel ke aduan.pematuhan.mkn.gov.my

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:28 PM