ANGGOTA polis melakukan pemantauan dalam Operasi Pematuhan SOP PKP 3.0 yang turut disertai pelbagai agensi keselamatan lain di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ANGGOTA polis melakukan pemantauan dalam Operasi Pematuhan SOP PKP 3.0 yang turut disertai pelbagai agensi keselamatan lain di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 143 kilang dan 17 premis bukan kilang diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhan 22,819 premis perniagaan dan 2,015 kilang sudah diperiksa sepanjang tempoh PKP yang bermula 14 Januari lalu.

"Bagi tempoh 1 Jun sehingga 14 Jun pula, pasukan Task Force Operasi Pematuhan sudah memeriksa 404 kilang dan daripada jumlah itu sebanyak 90 kilang diarahkan tutup.

"Dalam usaha untuk memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP sepanjang PKP menyeluruh, kerajaan meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP yang diwartakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga memeriksa 1,428 premis dan mengeluarkan 22 kompaun atas kesalahan melanggar SOP.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima sebanyak 266 aduan mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan daripada pelbagai kementerian dan agensi.

"Jumlah aduan tertinggi yang direkodkan adalah membabitkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis pekerjaan iaitu sebanyak 62 aduan, non-essential 50 aduan, dan 45 aduan bagi kategori ketidakpatuhan SOP am," katanya.

Menurutnya, anggota Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut membuat 138 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati, 43 tapak binaan beroperasi, manakala 95 lagi tidak beroperasi. Dalam pemeriksaan itu, CIDB mendapati 31 tapak binaan mematuhi SOP manakala 12 lagi diarahkan tutup.

"Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 18,932 pemeriksaan melibatkan 10,864 tapak binaan sejak 20 April lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:54 PM