Imam Masjid Al-Azim menyampaikan tazkirah Zohor secara online yang dimuat naik ke dalam laman Facebook rasmi Masjid Al-Azim, Melaka . FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Imam Masjid Al-Azim menyampaikan tazkirah Zohor secara online yang dimuat naik ke dalam laman Facebook rasmi Masjid Al-Azim, Melaka . FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan tidak terkecuali merebak di negara ini bukan menghalang pendakwah meneruskan tugas dakwah.

Sekatan pergerakan dihadkan dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu terpaksa dipatuhi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk dalam operasi surau dan masjid.

Bagi pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, pandemik itu mencetuskan keadaan tidak dijangka.

Menurutnya, kebiasaan berkuliah, ceramah dan berforum secara bersemuka dengan kehadiran ribuan penonton, tetapi semua bagaikan hilang dalam sekelip mata.

"Namun saya menukar konsep dakwah kepada dalam talian melalui pelbagai medium seperti Facebook (FB), Instagram (IG) dan TikTok.

"Alhamdulillah kuliah di dalam talian mendapat sambutan baik dan mendapat jumlah penonton yang ramai. Paling jauh saya menerima jemputan dalam talian dari Austria. Ada juga dari Singapura, Australia dan New Zealand.

"Masjid dan surau juga mengundang saya mengadakan sesi dalam talian, selain institusi pengajian tinggi, sekolah dan jabatan kerajaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau bersyukur rezeki kerja dakwah dapat terus dilaksanakan, malah sekarang turut menerima undangan untuk berlakon.

Apa pun, secara peribadi beliau berpandangan, ceramah bersemuka lebih mendatangkan kepuasan dan banyak kelebihannya.

"Antara kelebihan apabila bersemuka ialah dapat melihat reaksi penonton secara berdepan. Dapat berjemaah, mengenali masyarakat pelbagai peringkat sebab setiap kali penonton adalah orang yang berbeza.

"Malah line (capaian komunikasi internet - berkias merujuk berdakwah secara bersemuka) sentiasa on (berjalan) dan tak macam online (dalam talian) selalu terganggu. Penyampaian juga berbeza daripada sudut penghayatan.

"Tetapi saya tetap bersyukur program dakwah tetap boleh diadakan walau secara dalam talian," katanya.

Beliau juga ditanya mengenai fakta bahawa capaian penonton di ceramah dalam talian boleh menjadi ramai berkali-kali ganda daripada fizikal berhadapan selagi ada capaian Internet, tetapi bagaimana pula dengan pendapatan.

Ustaz Kazim mengakui sejak dahulu lagi beliau mencari dana untuk Pusat Pendidikan Al Barakah yang ditampung melalui usaha ceramah.

"Apabila buat kuliah dalam talian sahaja kos operasi Pusat Pendidikan Al Barakah agak terjejas. Tambahan lagi view (jumlah tontonan) sekarang makin rendah dengan pelbagai masalah talian.

"Namun masalah tidak akan mematahkan semangat saya sebagai pendakwah," katanya.

Pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau Ustaz Hanafi mengakui kehidupannya sebagai penceramah bebas agak sukar sewaktu PKP.

Untuk mencari rezeki, katanya, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai penghantar makanan dan menjual kereta.

"Alhamdulillah semasa ada kelonggaran, saya menjinakkan diri menceburi perniagaan kereta terpakai.

"Dengan jualan kereta terpakai, saya kumpul duit sikit-sikit bolehlah bayar hutang tertunggak. Hampir 90 peratus pendapatan terjejas apabila PKP dilaksanakan," katanya.

"Alhamdulillah sekarang sudah ada jemputan ceramah dalam talian. Saya lebih fokus kepada ceramah atas talian walaupun masih terjejas tetapi paling tidak, adalah pendapatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asatizah Malaysia, Ustaz Abdul Latif Ismail berkata, pihaknya turut membantu asatizah (ustaz dan ustazah) yang kesusahan sewaktu pandemik.

Antara sumbangan disampaikan pertubuhan itu, katanya, termasuk sumbangan lebih RM15,000 untuk penyakit kronik.

"Begitu juga apabila ahli sakit dan ahli keluarga sakit serta sumbangan apabila ahli keluarga meninggal (mengikut keperluan setiap keluarga).

"Pertubuhan juga membantu asatizah dalam bentuk bantuan segera kecemasan seperti berhutang bil elektrik, bil air dan bantuan bahan mentah makanan," katanya menjelaskan sumbangan diagihkan itu antaranya dari Yayasan Taqwa menerusi dana Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menurutnya, pihak pertubuhan juga menziarahi rumah asatizah dengan setiap keluarga diberikan RM300.

Selain itu, katanya, bermula 1 Januari lalu asatizah dijemput menyampaikan kuliah dalam talian di Facebook Pertubuhan Kebajikan Asatizah Malaysia.

"Sehari bermula satu slot, sehingga empat slot, enam slot sehinggalah lapan slot diperuntukkan.

"Daripada slot itu RM600 sehari diagihkan kepada ustaz ustazah bertauliah dalam pertubuhan di Malaysia," katanya menjelaskan pertubuhan itu mempunyai seramai 129 keahlian seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 5:48 PM