TENGKU Kamarul Ariffin Raja Jalil didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Fathil Asri
TENGKU Kamarul Ariffin Raja Jalil didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini. FOTO Fathil Asri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang Penolong Juruukur Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 bagi membocorkan maklumat sebut harga anggaran tender jabatan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Penolong Juruukur Bahan yang bertugas di MPS secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM5,600 ke dalam akaun simpanannya daripada seorang lelaki.

Wang rasuah itu sebagai upah tertuduh membocorkan maklumat sebut harga anggaran jabatan kepada lelaki itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kuala Lumpur di Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini masing-masing pada 22 April dan 16 Ogos 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu tertuduh juga turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan sama yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam prosiding itu peguam Chris Kooi Wei Kit yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan serta bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang ditetapkan.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 1:13 PM