Syabu dan heroin bernilai lebih RM80,000 yang dirampas polis hasil serbuan di sekitar Kampung Kubang Badak, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Syabu dan heroin bernilai lebih RM80,000 yang dirampas polis hasil serbuan di sekitar Kampung Kubang Badak, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Hamzah Osman


Langkawi: Penahanan tiga lelaki yang juga pengedar dadah pada serbuan berasingan semalam, membawa kepada penemuan bahan terlarang terbabit bernilai lebih RM80,000.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tiga suspek itu berusia 31 hingga 44 tahun dan ditahan pada operasi bermula jam 6 petang hingga jam 9 malam.

"Tangkapan pertama membabitkan dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun di tepi jalan di Kampung Kubang Badak. Kami merampas syabu seberat 83.80 gram.

"Suspek yang berusia 40 tahun memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya pada kenyataan hari ini.

Shariman berkata, susulan itu, polis menahan suspek ketiga di kawasan berhampiran dan merampas heroin seberat 3.80 gram.

"Suspek ketiga berusia 44 tahun memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Serbuan ketiga di sebuah rumah, juga di kawasan berhampiran, hanya membabitkan rampasan syabu seberat 532.20 gram," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut menyita sebuah Perodua Myvi dan motosikal bernilai lebih RM23,000.

"Dadah dirampas boleh digunakan oleh 2,053 penagih.

"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah. Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:41 PM