Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Padang Rengas: Kerajaan negeri Perak sedang menggerakkan usaha mempercepatkan penerimaan vaksin kepada lebih 40,000 warga pendidik di negeri itu melalui pengambilan data secara berkelompok.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya sebelum ini berdepan masalah berikutan mereka mendaftar secara individu melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, berikutan itu kerajaan negeri memberikan jaminan bahawa golongan pendidik akan diberi keutamaan mendapatkan pelalian itu jika bekalan vaksin yang diterima pada minggu ini atau minggu hadapan diterima dalam jumlah yang sebenar.

"Perkara ini saya sudah bangkitkan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri, minggu lalu dan susulan itu wujud pemberian vaksin secara pandu lalu sekali gus memudahkan urusan untuk warga pendidik untuk mendapatkan pelalian.

"Apabila golongan pendidik sudah divaksin, sudah pasti ibu bapa berasa lebih selamat sekiranya proses pengajaran dibuat di kelas tanpa risau menghantar anak mereka ke sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media agihan 20,000 telefon pintar melalui program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Adun Lubok Merbau, Dr Jurij Jalaludin.

Ditanya mengenai penolakan suntikan vaksin oleh golongan pendidik di Perak seperti dilaporkan berlaku di sesetengah negeri, Ahmad Saidi berkata, beliau tidak menolak andaian itu, namun setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenainya di Perak.

"Saya tidak tolak kemungkinan itu (ada guru di Perak menolak untuk divaksin), namun setakat ini di Perak saya belum mendengar isu seperti ini," katanya.

AHMAD Saidi (tiga, kanan) ketika mengagihkan bantuan telefon pintar bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Pusat Khidmat DUN Lubuk Merbau. Turut hadir ADUN Lubok Merbau, Dr Jurij Jalaludin (kiri). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
AHMAD Saidi (tiga, kanan) ketika mengagihkan bantuan telefon pintar bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Pusat Khidmat DUN Lubuk Merbau. Turut hadir ADUN Lubok Merbau, Dr Jurij Jalaludin (kiri). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 4:21 PM