Zuliaty Zulkiffli

CUBAAN menyeludup 24 bungkusan daun ketum di dua lokasi berasingan di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam dan Padang Terap gagal apabila dirampas pihak berkuasa dalam operasi, semalam.

Daun ketum keseluruhan seberat 754 kilogram itu dipercayai ditinggalkan di dalam semak oleh penyeludup tempatan menggunakan kereta pacuan empat roda.

Ia kemudian akan diambil oleh tekong Thailand menggunakan kenderaan motosikal atau tukang tanggung di laluan haram di kawasan Malaysia/Thailand.

ATM dalam kenyataannya berkata, rampasan itu adalah hasil usaha sama maklumat perisikan dan gerakan pasukan Op Benteng Zon Utara di kawasan sempadan.

Operasi ini dikoordinasi oleh Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (MK6Bgd) sebagai salah satu OPTERAS ATM di Zon Utara.

"Kerjasama agensi keselamatan terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Ia membuahkan hasil apabila usaha keras pasukan operasi berjaya membuat tangkapan aktiviti Jenayah Rentas Sempadan(JRS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kawalan ketat pasukan Operasi Tentera Darat dalam melaksanakan rondaan di kawasan operasi menemui 18 guni putih di Durian Burung dan enam guni putih di Bukit Kayu Hitam yang berisi padat dengan plastik lutsinar putih berisi ketum.

Harga pasaran dan permintaan yang tinggi di pasaran gelap Thailand menyebabkan sindiket sanggup melakukan kegiatan itu.

Nilai keseluruhan rampasan daun ketum dianggarkan mencecah hampir RM 22,620.

Semua barang rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Terap dan IPD Kubang Pasu untuk laporan dan siasatan lanjut.

OP Benteng Zon Utara dan agensi National Task Force (NTF) mengambil serius terhadap segala aktiviti JRS yang berlaku diperbatasan dan tidak pernah berkompromi dengan sebarang helah korupsi sindiket perosak kedaulatan negara seiring dengan cogankata 'Setia Bakti– Ungguli Sebarang Misi'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 8:49 PM