HAMZAH ketika membuat lawatan ke KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
HAMZAH ketika membuat lawatan ke KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Sepang: Pertemuan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi semalam bukan atas dasar beliau sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Sebaliknya, pertemuan itu adalah atas dasar sebagai Perdana Menteri untuk menjelaskan kepada Seri Paduka mengenai apa tindakan kerajaan dalam menguruskan Covid-19 dan juga ekonomi negara.

Menjelaskan demikian, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Muhyiddin belum lagi dipanggil atas kapasiti sebagai Presiden parti itu.

"Apabila bercakap mewakili kerajaan, semalam hari Rabu, ada pra-kabinet (sebelum mesyuarat Kabinet).

"Pertemuan di antara Yang di-Pertuan Agong bersama Perdana Menteri adalah isu pra-kabinet. Isu dijemput sebagai presiden parti (Bersatu), belum lagi.

"Jadi perbincangan, apa Yang di-Pertuan Agong mahukan, sebagai kerajaan kita sudah pun jelaskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan walkabout di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap kali apabila selepas pra-kabinet, Perdana Menteri bermesyuarat dengan ahli jemaah menteri.

"Perdana Menteri jelaskan perbincangan antara beliau dan Yang di-Pertuan Agong. So far so good (setakat ini keadaan baik)... Alhamdulillah.

"Yang penting kepada kami sebagai jemaah menteri adalah nak memastikan kita punya hala tuju, cara menguruskan pandemik Covid-19 ini harus mencapai kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:00 PM