PEGAWAI perubatan
PEGAWAI perubatan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hospital UCSI di Bandar Springhill Port Dickson, dekat sini, menjadi antara lima daripada hospital swasta terbesar di Negeri Sembilan yang terpilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, yang bermula, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa berkata, sebanyak 600 suntikan vaksin sehari akan dilaksanakan di hospital berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah dimaklumkan oleh pengurusan hospital terbabit bahawa mereka sudah bersedia dari segi fasiliti untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Malah, semalam pihak Hospital UCSI sudah menerima 1,200 dos vaksin Sivovac untuk memulakan program vaksinasi bermula hari ini.

"Kerajaan negeri memberikan sokongan penuh di atas pemilihan hospital swasta terbabit sebagai PPV kerana ia akan dapat mempercepatkan lagi pelaksanaan PICK," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut berkata, empat lagi hospital di negeri ini yang turut terpilih sebagai PPV adalah Pusat Perubatan Nilai, Hospital Pakar Senawang, Hospital Pakar KPJ Seremban dan Pusat Perubatan Mawar.

Katanya, kerajaan negeri berharap mereka yang sudah menerima janji temu memenuhinya supaya suntikan dapat dilakukan," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 12 hospital swasta di tiga negeri akan mula beroperasi sebagai PPV Covid-19 bermula hari ini.

Ia selaras dalam usaha mencapai sasaran 150,000 vaksinasi sehari sebelum Jun dengan sejumlah 2,250 dos sehari akan disediakan di semua hospital berkenaan.

Difahamkan setakat 21 Mei, seramai 1.42 juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 11:00 AM