Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberikan vaksin Sinovac dari China kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa dua bermula 19 April ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) selepas mendapati vaksin itu selamat, berkesan dan stabil untuk diberikan kepada warga emas.

Beliau berkata, keputusan itu turut dilakukan selepas mengambil kira data terkini serta perkembangan amalan penggunaan di negara lain termasuk Turki dan Brazil.

"Antara negara yang melaksanakan pemberian vaksin Sinovac kepada populasi 60 tahun ke atas ialah Turki dengan lebih 11 juta penerima, tujuh juta di Brazil lebih tujuh juta dan Chile lebih tiga juta penerima.

"Berdasarkan ujian klinikal di Brazil dan hasil semakan mendapati peratus keberkesanannya adalah 83.7 peratus bagi kes sederhana dan 100 peratus bagi kes tenat," katanya pada sidang media PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, di sini, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan memberi jaminan PICK fasa dua tidak mengalami masalah meskipun perolehan vaksin Covid-19 ke Malaysia terjejas kerana tindakan negara maju menempah vaksin dalam kuantiti yang banyak, sekali gus melebihi jumlah penduduk.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, ini kerana Malaysia sudah diberikan jadual penghantaran oleh pembekal membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 177,840 dos bermula April ini.

Beliau berkata, pihaknya mengakui ada negara maju yang bersikap tamak menempah vaksin sehingga lima kali ganda jumlah rakyat mereka memberi kesan kepada negara seperti Malaysia dan Australia.

Namun, katanya, bekalan vaksin ke Malaysia kembali pulih sepenuhnya pada Jun ini selepas mendapat tempias masalah rantaian bekalan di peringkat antarabangsa.

"Jadual penghantaran vaksin yang perlahan menjadi punca kadar penerimaan imunisasi masih rendah namun kita dijadual menerima bekalan yang banyak bermula Jun ini.

"Ini kerana sikap tamak negara maju menjadikan Malaysia menghadapi masalah dari segi bekalan vaksin ketika ini," katanya.

Beliau berkata, bermula bulan ini, Malaysia menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 133,380 dos pada 14 April, 31,590 dos (15 April) dan 12,870 dos (16 April).

Katanya, Malaysia turut membuat keputusan menyalurkan sebanyak 50,000 dos vaksin Covid-19 kepada Bosnia-Herzegovina, namun ia tidak akan menjejaskan jadual imunisasi kepada rakyat tempatan.

VAKSIN Sinovac.
VAKSIN Sinovac.

Mengenai perkembangan vaksin AstraZeneca, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mesyuarat JKJAV minggu depan.

Sementara itu, Khairy berkata, sebanyak 31,776 janji temu sudah dihantar kepada penerima vaksin fasa kedua melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Katanya, 13, 218 daripadanya sudah memberikan jawapan untuk hadir, 343 tidak hadir dan 18,215 atau 57 peratus lagi masih belum memberikan pengesahan kehadiran.

"Adalah penting untuk mereka yang sudah menerima butiran janji temu untuk menjawab bagi membolehkan perancangan dibuat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:38 PM