Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Alunan takbir raya berkumandang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) sempena Aidiladha, pagi ini.

Walaupun hari ini umat Islam menyambut Aidiladha, namun hampir semua PPV di negeri ini dibuka dan beroperasi seperti biasa bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Tinjauan di PPV Persada mendapati hampir kesemua 350 petugas di situ membabitkan sukarelawan kesihatan dan bukan kesihatan memakai baju raya berwarna warni sekali gus menceriakan suasana.

Bacaan doa dan takbir raya turut dialunkan di PPV Persada dipimpin Imam Masjid Kerajaan Daerah Johor Bahru, Ustaz Fadhil Noor disertai petugas serta sukarelawan PPV seawal jam 8 pagi tadi, sebelum pintu utama dibuka untuk penerima vaksin.

Ketua Penyelaras PPV Mega Persada, Zainal Eran berkata, acara sambutan Aidiladha ringkas membabitkan bacaan doa dan takbir raya diadakan bagi meraikan semua petugas PPV berkenaan.

Katanya, ia sebagai menghargai pengorbanan dan kerja keras semua petugas berikutan PPV berkenaan dibuka tujuh hari seminggu dan tidak ditutup walaupun pada hujung minggu atau cuti perayaan.

"Alhamdulillah, pagi ini kita adakan sambutan ringkas Aidiladha dengan doa kesejahteraan pada rakyat dan negara diikuti takbir raya.

"Kami di PPV Mega Persada juga berbesar hati kerana Yayasan Johor Corporation (Johor Corp) menyumbangkan 500 beg makanan hari raya kepada kesemua petugas di sini," katanya ketika ditemui di PPV berkenaan, hari ini.

BACAAN doa dan takbir raya dipimpin Ustaz Fadhil disertai petugas serta sukarelawan PPV seawal jam 8 pagi sebelum pintu utama dibuka untuk penerima vaksin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BACAAN doa dan takbir raya dipimpin Ustaz Fadhil disertai petugas serta sukarelawan PPV seawal jam 8 pagi sebelum pintu utama dibuka untuk penerima vaksin. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Sementara itu, sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di PPV Mega Persada, Mohamad Ainul Danial Mohd Aidil, 18, yang hadir bertugas mengenakan baju Melayu hitam lengkap bersampin dan bertanjak berkata, beliau serta sukarelawan lain terharu dengan keprihatinan pengurusan PPV itu yang sentiasa menjaga kebajikan petugas.

"Hari ini kami rasa seronok walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga namun dapat menyambut Aidiladha bersama rakan petugas lain selain penerima vaksin.

"Kami harap sumbangan tenaga kepada negara dan masyarakat ini akan membolehkan Johor mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat," katanya.

Seorang lagi sukarelawan MyVac, Nur Shifah Hanis Halim, 21, berkata, beliau juga bersemangat melakukan tugasan di PPV Mega Persada bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi di situ.

"Semua petugas di sini seperti keluarga besar yang saling menyokong satu sama lain menyebabkan tugasan yang dibuat tidak langsung terasa membebankan malah amat menyeronokkan.

"Hari ini kami berpakat pakai baju raya yang tidak sempat dipakai ketika Aidilfitri lalu sekali gus menyebabkan suasana di sini lebih meriah dan ceria," katanya.

Koperal Redha Rolan Simson, dari Unit 2 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Kontinjen Johor, pula berkata, sambutan Aidiladha kali ini berbeza.

"Walaupun petugas badan beruniform sudah biasa bekerja ketika musim perayaan, namun sejak dua tahun ini perayaan disambut berbeza ketika wabak Covid-19 melanda negara.

"Jika dulu tugas lebih banyak di lapangan membuat pemantauan namun kali ini saya bertugas di PPV Mega Persada. Diharapkan wabak Covid-19 di negara kita pulih dan masyarakat dapat kembali ke kehidupan seperti sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:35 AM