Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Suasana di Pusat Pemberian Vaksin AstraZenecca (PPVAZ) Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) yang dijadikan PPV Mega mulai hari ini sehingga 27 Julai depan, kelihatan tenang dan terkawal.

Tinjauan mendapati petugas termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) dan RELA, sudah bersedia seawal jam 7 pagi bagi memastikan kelancaran trafik selain kedatangan penerima vaksin.

Penutupan beberapa jalan utama di sekitar PPVAZ Mega itu menjadikan laluan trafik lancar sekali gus mengelakkan kesesakan di kawasan berkenaan.

Sebuah khemah gergasi turut didirikan di perkarangan PPVAZ Mega Persada bagi membolehkan penerima vaksin terutama warga emas yang hadir mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum menunggu giliran sebelum dipanggil masuk ke dalam dewan utama.

SUASANA di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
SUASANA di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Sementara itu, bekas pengetua, Idris Ahmad, 67 dari Peserai, Batu Pahat yang menjadi penerima vaksin pertama berkata, dia datang bersama isterinya, Azmah Harun, 64, yang turut menerima vaksin hari ini, ditemani seorang anak.

Katanya, beliau bertolak dari Batu Pahat kira-kira jam 6.30 pagi sebelum tiba di situ pada jam 7.45 pagi.

"Alhamdulillah, segala-galanya dipermudah dan dilancarkan. Isteri saya dijadualkan disuntik jam 3 petang ini dan saya pagi ini.

"Namun apabila saya memohon pada urus setia supaya isteri dapat disuntik bersama, permohonan itu dibenarkan kerana nama isteri memang sudah didaftarkan untuk menerima vaksin hari ini.

"Suasana di PPVAZ Mega Persada juga selesa dan mesra bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas terutama kepada isteri yang perlu menggunakan kerusi roda," katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham dilaporkan berkata, sebanyak 500 individu akan menerima vaksin AstraZeneca di tiga PPV Mega di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, bermula hari ini, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada 3,000 penerima, dua hari selepas ini.

IDRIS bersama isterinya, Azmah menjadi penerima vaksin terawal di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
IDRIS bersama isterinya, Azmah menjadi penerima vaksin terawal di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Sementara itu, Azmah berkata, dia bersyukur kerana sudah menerima vaksin, sekali gus melunaskan tanggungjawabnya.

Dia yang juga pesara guru berkata, menjadi tanggungjawab setiap warga Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok supaya negara dapat kembali seperti sebelum ini.

"Saya menerima vaksin sebagai tanggungjawab dan berharap keadaan akan pulih dan wabak Covid-19 akan berjaya dihentikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 10:16 AM