GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Roselan Ab Malek


Bentong: Empat lelaki ditahan selepas menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di Taman Desa Damai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, sepasukan pegawai dan anggota unit kereta peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Bentong ke tempat kejadian pada 5.30 petang setelah mendapat maklumat daripada orang awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki berusia antara 20 hingga 28 tahun sedang berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan sedang minum dipercayai minuman beralkohol.

"Mereka juga datang dari kawasan perumahan yang berlainan yang sedang dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Beliau berkata, ketika diperiksa, dua daripada mereka bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat dan enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mengemukakan dokumen pengenalan kepada pihak polis.

"Salah seorang suspek turut cuba mencederakan seorang pegawai kanan polis wanita di lokasi kejadian tetapi berjaya dihalang.

"Susulan kejadian itu, semua mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikompaun RM5,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit (PPPDPPB) (No 2 ) 2021," katanya.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 9:27 AM