GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nuraliawati Sabri


Jasin: Wanita dikompaun RM1,500 selepas ingkar perintah kuarantin apabila keluar rumah dan ke dobi dengan memakai gelang merah jambu, semalam.

Tindakan wanita berusia 29 tahun itu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikatakan disedari pelanggan lain sebelum membuat menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, sebaik menerima aduan pasukan ronda Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Jasin bergegas ke lokasi jam 5.30 petang.

Beliau berkata, sebaik tiba di hadapan premis berkenaan, polis mendapati seorang wanita berada di dalam kereta.

"Hasil pemeriksaan mendapati dia memakai gelang merah jambu seperti yang dilaporkan.

"Semakan KKM mengesahkan wanita itu sedang menjalani kuarantin di rumah dan dia kemudian dikompaun serta-merta RM1,500," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan kompaun diambil mengikut Seksyen 15(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana ingkar pemerhatian dan pengawasan kontak rapat.

"Mana-mana individu yang diarahkan menjalani kuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu wajib berada di rumah," katanya.

Terdahulu, tular di Facebook yang meminta penduduk Jasin agar berhati-hati kerana terdapat wanita bergelang merah jambu ke sebuah dobi di pekan Jasin untuk mengeringkan pakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 11:11 AM