Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kes kematian akibat Covid-19 kembali meningkat kepada tiga angka dengan 109 kes hari ini berbanding 86 kes pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan kumulatif kematian disebabkan Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 3,291 kes atau 0.54 peratus.

Menurutnya, jumlah kematian yang direkodkan sehingga 12 tengah hari ini membabitkan 105 warganegara dan empat bukan warganegara.

"Sebanyak 33 kes kematian dicatatkan di Selangor, Johor (22), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (9), Kelantan (6), masing-masing lima kes di Kedah dan Melaka, Perak (4) dan tiga kes di Labuan.

"Selain itu, masing-masing dua kes kematian dilaporkan di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang serta satu kes kematian di Terengganu dan Putrajaya," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini pula sedikit menurun apabila mencatatkan 7,452 kes berbanding 7,748 kes semalam.

Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat hari ini ialah 610,574 kes.

"Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 2,509 kes diikuti Kuala Lumpur (678), Negeri Sembilan (843), Sarawak (651), Johor (412), Pulau Pinang (370), Kelantan (312), Pahang (286), Kedah (263) dan Perak (252).

"Melaka pula mencatatkan sebanyak 206 kes, Labuan (205), Terengganu (190), Putrajaya (12), manakala Perlis dengan empat kes," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 7,444 kes membabitkan penularan tempatan iaitu 6,308 warganegara (84.7 peratus) dan 1,136 bukan warganegara (15.3 peratus).

Menurutnya, terdapat lapan kes import yang membabitkan empat warganegara dan empat bukan warganegara.

Katanya, pesakit sembuh pula mencatatkan 6,105 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 521,676.

"Rekod hari ini mendapati terdapat 886 kes Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 446 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:23 PM