Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan jumlah pesakit Covid-19 sembuh harian tertinggi hari ini iaitu 7,049 menjadikan kumulatif kes sembuh adalah sebanyak 508,947 atau 85.5 peratus.

Bagaimanapun, kes kematian masih kekal tiga angka untuk dua hari berturut-turut iaitu 103 kematian selepas mencatatkan 126 kematian, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumulatif kes kematian yang direkodkan setakat hari ini ialah 3,096 kes atau 0.52 peratus.

"Sebanyak 100 kes kematian membabitkan warganegara, manakala tiga lagi bukan warganegara.

"Kes baharu harian Covid-19 hari ini pula meningkat kepada 8,209 berbanding 7,703 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif yang dijangkiti virus itu adalah 595,374 kes," katanya dalam kenyataan media mengenai situasi semasa Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor terus mendahului kes tertinggi hari ini iaitu 3,125 kes, diikuti Kuala Lumpur (801), Johor (752), Sarawak (594), Negeri Sembilan (576), Kelantan (414), Perak (384), Kedah (373), dan Melaka (322).

"Pulau Pinang merekodkan 303 kes baharu, Sabah (203), Pahang (135), Terengganu (127), Labuan (62), Putrajaya (33) dan Perlis (lima)," katanya.

Beliau berkata, 8,145 kes adalah penularan tempatan iaitu 7,046 warganegara (86.5%) dan 1,099 bukan warganegara (13.5%), selain 64 kes import (56 warganegara, lapan bukan warganegara.

Menurutnya, kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan adalah 83,331 kes.

Menurutnya, seramai 880 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 446 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 7:18 PM