GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini mencatatkan penurunan kepada 2,342 kes berbanding 3,010 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan kumulatif kes di Malaysia sehingga kini mencecah 2,810,689 kes.

Menurutnya sebanyak 180 kes import positif Covid-19 iaitu mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan daripada keseluruhan kes baharu hari ini.

"Mereka yang mendapat jangkitan dari luar negara itu membabitkan 114 warganegara manakala 68 lagi bukan warganegara.

"Baki 2,162 kes pula adalah penularan tempatan membabitkan 2,105 warganegara dan 57 bukan warganegara.

"Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 98.5 peratus atau 2,308 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 1.5 peratus atau 34 kes kategori tiga hingga lima.

"Pertambahan kes baharu itu juga menjadikan keseluruhan 2,810,689 kes Covid-19 di negara setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah 184 kes membabitkan 132 kes disahkan Covid-19 manakala 52 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 87 kes membabitkan 52 kes disahkan Covid-19 dan 35 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

Tambah Noor Hisham, sebanyak enam kluster baharu dikesan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan 6,218 kluster dengan 177 kluster masih aktif.

Tambah beliau, nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara berada paras 1.0.

Beliau berkata, Kuala Lumpur merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08 diikuti Negeri Sembilan (1.07), Sabah (1.05) dan Selangor (1.02).

Katanya, empat negeri pula mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.00 iaitu Sarawak, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 2:28 PM