DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 196 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 191 dikenakan tindakan kompaun manakala lima lagi direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal membabitkan 119 individu manakala 21 individu tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain adalah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (28)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain sembilan kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

"Dalam operasi sama, sebanyak 116 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 14 aktiviti penglihatan manakala dua Pati turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 562 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Katanya, secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 179,083 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 78 hotel serta sembilan institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 685,687 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,367 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,222 orang disahkan positif Covid-19 manakala 675,465 lagi negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit program saringan ini," katanya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 793 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:57 PM