FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Prosedur vaksinasi perlu dipermudahkan bagi membolehkan masyarakat mendapat lebih cepat termasuk pembabitan pengamal perubatan awam swasta.

Biro Media Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Norzaidi Zakaria berkata, ketika ini isu seperti birokrasi menyebabkan doktor swasta dilihat seolah-olah tidak mahu terbabit di dalam program vaksin yang disediakan kerajaan.

Sebaliknya, prosedur seperti perlu menjalani latihan suntikan adalah tidak perlu memandangkan sebelum ini doktor swasta terbabit dalam pemberian vaksin kepada jemaah haji dan sebagainya.

"Kami sememangnya ingin membantu dari awal penularan wabak lagi tetapi sering terhalang atas banyak alasan.

"Sepatutnya pada waktu ini semua pihak perlu bersatu hati ketika kita semua sedang memerangi Covid-19," katanya.

Menurutnya, setakat ini kadar yang dikenakan untuk ujian swab dan persampelan adalah rendah dengan kos peralatan sampingan ditanggung pihak swasta.

Katanya, dengan adanya harga minima yang terperinci, ia dapat mebantu pengamal perubatan awam swasta memberi khidmat kepada masyarakat.

"Kadar pemeriksaan yang kami syorkan bagi RTK Antigen adalah sekitar RM120 ke RM150 manakala bagi RT PCR adalah antara RM250 ke RM320," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 4:56 PM