GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk vaksin AstraZeneca daripada pengilang kedua yang berpangkalan di Thailand.

Pengilang kedua berkenaan iaitu Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand adalah pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 sudah bersidang pada hari ini dan bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

"Sebelum ini, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Belanda pada 2 Mac lalu yang juga pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara Eropah.

"Sebagai makluman, kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX.

"Malaysia mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada April lalu. Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas," katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data tambahan dan terkini.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif.

"Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang sudah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

"Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:45 PM