Petugas Jabatan Kesihatan melakukan ujian saringan ke atas penduduk  di Dewan Sivik Kampung Laut. FOTO GHAZALI KORI

Petugas Jabatan Kesihatan melakukan ujian saringan ke atas penduduk di Dewan Sivik Kampung Laut. FOTO GHAZALI KORI

Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Seramai 600 penduduk Kampung Belukar Jambu dan Kampung Laut menjalani saringan Covid-19 di Dewan Sivik Kampung Laut di sini, hari ini.

Ia berikutan arahan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) susulan terdapat laporan kes positif di dalam komuniti itu.

Proses saringan Covid-19 bermula jam 9 pagi membabitkan 20 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu termasuk sokongan tenaga kerja dari Klinik Kesihatan Pergigian Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belukar Jambu, Asmak Muda berkata, sebelum ini Masjid Kampung Belukar Jambu menerima notis perintah tutup premis oleh JKNT bermula 28 Mei sehingga 31 Mei 2021 berikutan menerima laporan kes jangkitan Covid-19.

Katanya, ia tindakan wajar sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha untuk mencegah penularan pandemik Covid-19 yang mungkin lebih teruk kerana membabitkan penduduk kedua-dua kampung yang bersebelahan.

"Walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan kematian dalam kalangan penduduk kampung yang direkodkan. Usaha yang diambil pihak JKNT dipuji dalam usaha memastikan tidak berlaku penularan wabak Covid-19 di dua kampung berkenaan," katanya.

Tambahnya, dianggar seramai 600 penduduk daripada dua kampung itu secara sukarela tampil dan menjalani ujian saringan Covid-19 yang disediakan JKNT.

"Kami tidak pasti dari mana jangkitan itu berlaku, namun mungkin berlaku pada 1 Syawal baru-baru ini.

"Mungkin ada perjumpaan sanak saudara di kawasan sekitar dan antara mereka ada yang positif tetapi tidak menyedarinya," katanya.

Menurutnya, dia berharap mana-mana penduduk yang mempunyai simpton Covid-19 tampil untuk menjalani saringan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:37 PM