GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majikan sektor perkilangan akan dikompaun terus tanpa amaran jika melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan pemantauan pematuhan PKP di beberapa kawasan kilang dan industri sekitar Lembah Klang, beliau berkata kluster perkilangan didapati antara yang paling banyak menyumbang kepada peningkatan kes kebelakangan ini.

"Jika berterusan begini, angka yang ditunjukkan DG (Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) pada setiap hari tidak dapat kita diturunkan di bawah paras 5,000.

"Oleh itu, saya minta kepada semua majikan agar patuh SOP PKP dan jika sektor perkilangan tidak patuh SOP PKP, saya risau kita tidak dapat melandaikan kes Covid-19," katanya.

Hamzah berkata oleh itu, hari ini merupakan hari terakhir majikan sektor perkilangan di seluruh negara diberi amaran jika mereka melanggar SOP PKP.

"Tidak ada maaf lagi kepada mereka dan saya gesa majikan yang diberikan kebenaran untuk beroperasi melihat semula kelulusan yang diberi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.

"Ada majikan yang diberi kelulusan MITI untuk beroperasi namun melanggar SOP PKP. Sebagai contoh, sebuah kilang sektor kuari di Kajang hari ini yang kakitangannya melebihi 60 peratus," katanya.

Beliau juga berkata lebih 40 kilang di seluruh negara telah dikompaun sejak 1 Jun lalu kerana melanggar SOP PKP.

"Kebanyakan kilang yang sudah dikompaun sebelum ini tidak beroperasi semula dan saya mahu majikan mereka memahami bahawa memutuskan rantaian Covid-19 adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 8:44 PM