Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kira-kira 100 kenderaan dari Sungai Petani, Kedah yang cuba memasuki Pulau Pinang melalui daerah Seberang Perai Utara, di sini, diarah berpatah balik ketika pemeriksaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula hari ini.

Arahan itu dikeluarkan selepas mereka didapati tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan yang dijalankan di beberapa sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini mendapati masih ada percubaan merentas negeri dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan pada SJR bergerak ketika menjalankan pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan pada SJR bergerak ketika menjalankan pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Danial Saad

"Apabila disoal ada sahaja alasan ingin membeli barang keperluan dan ada juga yang tanpa segan silu memberi alasan ingin membeli sarapan.

"Ini menampakkan masih ramai yang memandang remeh pelaksanaan SPP yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, polis akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat pada hari berikutnya dan berharap kesalahan sama tidak berulang.

"Kita tidak mengeluarkan kompaun dan hanya meminta mereka berpatah balik, namun selepas ini tiada lagi nasihat diberikan.

"Polis meminta kerjasama orang ramai supaya patuh pada arahan dengan tidak melakukan cubaan merentas negeri dan daerah serta sentiasa kekal duduk di rumah jika tiada keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:29 PM