RUSLIN. FOTO Mohd Fadli Hamzah
RUSLIN. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam

Putrajaya: Tiada sebarang denda akan dikenakan kepada individu yang kehilangan MyKad atau sijil kelahiran ekoran banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, individu hanya perlu membayar wang pemprosesan masing-masing RM10 untuk MyKad dan RM5 untuk sijil kelahiran.

Menurutnya, JPN memahami situasi dihadapi penduduk terjejas dan mungkin kehilangan MyKad dan sijil kelahiran yang rosak atau dihanyutkan banjir.

"Orang ramai boleh datang terus ke Pejabat JPN berhampiran untuk memohon MyKad dan sijil kelahiran baharu tanpa sebarang denda.

"Jika pejabat JPN yang dikunjungi memiliki mesin cetak dokumen berkenaan, ia boleh diterima hari yang sama atau lima hari proses diperlukan jika sebaliknya.

"Orang ramai juga tidak perlu membuat temu janji kerana kes seperti bencana alam dikategori sebagai kecemasan," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, hari ini.

Ruslin berkata, jabatan itu juga akan menggerakkan Unit Bergerak JPN bagi memudahkan orang ramai di pedalaman memohon dokumen itu tanpa perlu pergi ke cawangan JPN negeri masing-masing.

Terdahulu, enam negeri antaranya Kelantan, Perak, Pahang, Terengganu, Selangor dan Johor dilanda banjir dan menjejaskan penduduk sejak beberapa hari lalu.

Keadaan itu masih lagi belum pulih sepenuhnya dengan jumlah mangsa dijangka meningkat ekoran hujan di beberapa kawasan di negeri terjejas.

Dalam pada itu, Ruslin menegaskan JPN perlu melaksanakan sistem temu janji untuk urusan di jabatan itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang Covid-19.

Menurutnya, had kehadiran juga akan dikurangkan namun bagi kes kecemasan seperti kehilangan MyKad, sijil kelahiran atau sijil kematian boleh dibuat serta merta tanpa temu janji.

"Namun, orang ramai perlu menunggu giliran lebih lama kerana kapasiti pelanggan di JPN dihadkan pada satu masa.

"JPN komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam masa sama tetap tegas mematuhi SOP untuk mengekang Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:52 PM