GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pasangan bukan Islam yang mahu melangsungkan perkahwinan boleh berbuat demikian bermula hari ini, sama ada di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rumah ibadat atau persatuan agama bukan Islam.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 9 yang dipengerusikan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

JPN dalam kenyataan berkata, kebenaran itu hanya untuk kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) saja.

Katanya, upacara perkahwinan di kawasan yang dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) masih tidak dibenarkan.

"Keputusan itu membolehkan upacara perkahwinan bukan Islam yang tertangguh sejak pelaksanaan PKP 2.0 dapat diadakan.

"Selaras dengan keputusan ini, JPN mengemaskini dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) upacara perkahwinan bukan Islam di JPN, rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam untuk panduan serta pematuhan semua pihak terbabit.

"Antara perkara yang ditambah baik adalah berkaitan kapasiti kehadiran semasa upacara pendaftaran perkahwinan," katanya.

Kenyataan itu menyebut, bagi upacara yang dijalankan di pejabat JPN, maksimum 10 individu, termasuk pendaftar dibenarkan bagi upacara pendaftaran perkahwinan sivil, tertakluk kepada keluasan ruang upacara perkahwinan di premis JPN.

Jumlah kehadiran dalam upacara di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam dilaksanakan Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP), berbeza mengikut kawasan pelaksanaan PKP.

Katanya, bagi kawasan PKP maksimum 10 individu termasuk PPP dibenarkan pada upacara pendaftaran secara adat, agama, kelaziman atau sivil; maksimum 20 orang di kawasan PKPB (termasuk PPP) dan maksimum 30 orang (termasuk PPP) di kawasan PKPP, tertakluk kepada ruang tempat upacara dilakukan.

"Tiada majlis sosial yang dibenarkan di JPN semasa upacara pendaftaran perkahwinan berlangsung manakala majlis sosial di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam adalah tertakluk kepada arahan atau peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Pihak Berkuasa Tempatan dan Arahan

Kerajaan Negeri.

"Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SOP ini boleh melayari pautan di laman sesawang MKN (www.mkn.gov.my) atau JPN (www.jpn.gov.my)," katanya.

Mereka juga boleh berhubung dengan Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 11:55 AM