GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua kluster aktiviti kunjung-mengunjung pada sambutan Aidilfitri dikesan di Kelantan hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan dua kluster itu membabitkan Kluster Telok Kemunting di Bachok dan Kampung Banggol Petaling di Pasir Mas adalah jangkitan dalam komuniti.

Katanya, dua kluster itu membabitkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan.

"Kes indeks bagi Kluster Telok Kemunting membabitkan wanita berusia 32 tahun yang dilaporkan positif pada 21 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

"Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini ialah 19 orang daripada 35 orang yang disaring.

"Bagi Kluster Kampung Banggol Petaling, kes indeks adalah lelaki berusia 24 tahun yang positif Covid-19 pada 21 Mei lalu," katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.

Menurutnya, susulan kes terbabit, 21 individu didapati positif Covid-19 daripada 44 orang yang disaring.

Katanya, tiga lagi kluster yang dikesan di Kelantan hari ini ialah Kluster Sri Sentosa membabitkan jangkitan dalam komuniti, Kluster Sri Mahang jangkitan di tempat kerja dan Kluster DTI Tanah Merah membabitkan pusat tahanan.

"Ketiga-tiga kluster ini merekodkan 153 kes daripada 543 individu yang disaring," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin memaklumkan terdapat peningkatan dalam jumlah kes harian Covid-19 Kelantan hari ini iaitu sebanyak 754 kes.

"Kadar kebolehjangkitan (RT) negeri ini ialah 1.10, manakala RT Nasional 1.17," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:51 PM