NEELOFA dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 24 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
NEELOFA dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 24 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis sedang mengemas kini kertas siasatan terhadap selebriti popular Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa yang didakwa memakai niqab tanpa mengenakan pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, setakat ini kertas siasatan itu sudah 70 peratus lengkap.

"Sebaik ia lengkap dan dikemas kini, kita akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Jika jelas dia melanggar undang-undang, maka kita akan maju kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk buat keputusan sepatutnya," katanya selepas membuat pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mydin Seremban 2, di sini, hari ini.

Mohd Said berharap netizen tidak lagi memperbesarkan kes berkenaan sebaliknya serahkan pihak berkuasa berkaitan membuat keputusan.

Isnin lalu, Neelofa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung kes beliau didakwa melanggar SOP dengan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir untuk pendakwaan di Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:22 PM