Nor Amalina Alias


Bachok: Kertas siasatan berhubung aktiviti ziarah hari raya di rumah seorang ahli politik di Machang hampir selesai dan dijangka diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri, minggu depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya memerlukan keterangan beberapa lagi saksi iaitu tetamu ahli politik berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Beliau berkata, tindakan lanjut akan diputuskan pihak Timbalan Pendakwa Raya dan menunggu arahan seterusnya.

"Ini berbeza dengan kompaun sebab kita terima laporan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selepas kejadian berlaku, keluar gambar tular (viral), baru kita buka kertas siasatan.

"Yang berlaku hari ini, contohnya kita keluar operasi, berlaku perlanggaran SOP secara terus (on the spot) baru kita keluarkan kompaun.

"Kalau kes begini (sudah berlaku) kena tunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan di pos operasi di Kampung Pauh Lima yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Shafien berkata, pihaknya menganggarkan lebih empat individu hadir ziarah raya ke rumah ahli politik berkenaan meskipun gambar tular memaparkan ahli politik itu bersama tiga tetamu.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan lebih enam individu dan percaya aktiviti ziarah itu membabitkan lebih empat orang.

Terdahulu, Polis Kelantan menerima laporan berhubung majlis hari raya diadakan di rumah ahli politik di Machang pada Sabtu lalu yang melanggar SOP PKP.

Polis menjalankan siasatan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 termasuk mengadakan majlis hari raya dan tidak mengenakan pelitup muka.

Datuk Shafien Mamat.
Datuk Shafien Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:57 PM