SERAMAI 10 individu termasuk pemilik dua rumah di Kampung Kenanga dan Rawang Perdana, Rawang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP dalam Op Khas Pemantauan Ziarah Aidilfitri, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
SERAMAI 10 individu termasuk pemilik dua rumah di Kampung Kenanga dan Rawang Perdana, Rawang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP dalam Op Khas Pemantauan Ziarah Aidilfitri, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Seramai 10 individu termasuk pemilik rumah dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 selepas didapati melakukan ziarah raya atau aktiviti berkunjung sempena Aidilfitri ke rumah kenalan mereka biarpun tindakan itu dilarang kerajaan, hari ini.

Kesalahan itu dikesan polis dalam Op Khas Pemantauan Ziarah Aidilfitri yang dilakukan di dua rumah di Kampung Kenanga dan Rawang Perdana, Rawang di sini antara jam 2.30 hingga 6 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Kenanga mendapati terdapat dua tetamu yang berkunjung di rumah berkenaan.

"Polis mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang kepada pemilik rumah dan dua tetamu itu.

"Tidak jauh dari lokasi pertama, polis mengesan sebuah lagi rumah di Rawang Perdana yang turut menerima kunjungan tetamu. Seramai tujuh tetamu dari pelbagai kawasan datang ke sini dan kita kompaun mereka.

"Kompaun hanya dikeluarkan kepada ketua keluarga walaupun terdapat lebih individu termasuk kanak-kanak di dalam kedua-dua rumah berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai operasi itu, hari ini.

Arifai berkata, dalam operasi itu ada tetamu yang memberikan alasan keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri kerana menyangka aktiviti ziarah dibenarkan seperti tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan dalam operasi itu mendapati tahap pematuhan secara keseluruhan baik kerana kebanyakan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.

"Secara keseluruhan adalah baik, hampir tiga jam kita lakukan rondaan tiada rumah yang terima tetamu termasuk kita pantau di kawasan tanah perkuburan," katanya.

Tambahnya, operasi itu akan diteruskan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP sekaligus dapat mengawal penularan Covid-19.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelanggaran SOP Aidilfitri sama ada ziarah, jamuan raya atau ziarah tanah perkuburan boleh menghubungi bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 7:23 PM