SHAFIEN ketika turun padang dalam sekatan jalan raya Pachakan, Pasir Puteh. FOTO Siti Rohana
SHAFIEN ketika turun padang dalam sekatan jalan raya Pachakan, Pasir Puteh. FOTO Siti Rohana
Siti Rohana Idris

Pasir Puteh: Pihak berkuasa mengesan beberapa pemilik premis menyediakan cecair pembasmi kuman yang dicampur dengan air biasa dipercayai untuk menjimatkan kos.

Selain itu ada juga yang menyediakan alat pengimbas suhu yang kehabisan bateri atau sudah rosak menyebabkan bacaan suhu tidak dapat dinyatakan dengan tepat.

Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, perkara itu turut diambil tindakan dengan mengenakan kompaun memandangkan ia satu kesalahan.

"Selain tidak memakai pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman palsu dan menggunakan alat pengimbas suhu rosak juga ada dikesan berlaku.

"Situasi ini seolah menunjukkan sikap acuh tak acuh pemilik premis dan bagi mereka cukup sekadar menyediakan peralatan itu dan paparan aplikasi Mysejahtera," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di sekatan jalan raya Pachakan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, sebanyak 1,244 kompaun dikeluarkan bermula April hingga kini kepada mereka yang melanggar SOP dan beliau mengingatkan kepada masyarakat bahawa tindakan tegas akan diambil jika masih ada yang tidak mematuhi peraturan.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, pihaknya sudah menerima dua laporan berkaitan penganjuran pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat oleh sebuah madrasah di Pulai Chondong, Machang, baru-baru ini yang dikatakan tidak mendapat kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Katanya, laporan yang diterima dibuat di luar Kelantan dan pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 465 dan 471 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan memalsukan dokumen.

"Daripada laporan yang dibuat, pengadu menyatakan ada mengetahui berkaitan pameran itu menerusi laman sosial dan terpanggil untuk membuat laporan polis.

"Penganjur dari luar Kelantan dan kita akan rakam percakapan sebaik mendapat perintah siasatan daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Selain tidak diluluskan oleh JAHEIK, barangan yang dipamerkan dalam pameran yang dianjurkan selama dua minggu dan berakhir 8 November lalu itu yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW juga tidak benar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 4:59 PM