AHMAD Zahid (kanan) dan Ab Rauf. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid (kanan) dan Ab Rauf. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini berkata, kompaun itu dikeluarkan berikutan perlanggaran SOP pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Melaka ke-15.

Menurut kenyataan terbabit, kesalahan itu merujuk kepada video yang tular menunjukkan dua ahli politik terbabit melakukan kempen ziarah rumah ke rumah dan tidak memakai pelitup muka.

"Siasatan yang dijalankan oleh KKM mendapati berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka oleh kedua-dua individu itu pada 19 November di kawasan Masjid Tanah.

"Justeru, satu kompaun mengikut Peraturan 16 PU(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 bernilai RM10,000 bagi setiap individu dikeluarkan," katanya.

SOP bagi pelaksanaan PRN Melaka ke-15 dikeluarkan pada 7 November lalu sebagai rujukan supaya semua pihak dapat memahami dan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar dan mencegah penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 2:39 PM