FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM7.8 juta melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar kepada rakyat Pahang yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri di atas kemaslahatan rakyat ketika menghadapi tempoh sukar sekarang.

Katanya, bantuan disediakan itu juga berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika ini.

"Seperti mana inisiatif bantuan yang kerajaan negeri berikan sebelum ini, BPP Covid-19 secara bersasar yang akan diberikan kali ini, dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.

"Antara golongan yang akan menerima manfaatnya ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, mangsa kes Covid-19 aktif termasuk yang menjalani kuarantin di rumah.

"BPP ini juga turut diberikan kepada gelandangan, miskin tegar, orang kelainan upaya dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berusia 80 tahun ke atas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, segala persediaan sedang dilakukan dan berharap pengagihan BPP Covid-19 secara bersasar itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Bakal penerima juga dapat memanfaatkan bantuan yang diterima dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:26 PM