WAN Rosdy Wan Ismail. FOTO arkib NSTP
WAN Rosdy Wan Ismail. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang menyalurkan peruntukan tambahan RM9.3 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar fasa kedua kepada rakyat Pahang yang terputus mata pencarian.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tambahan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, tambahan RM9.3 juta itu menjadikan RM17.1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi pelaksanaan BPP Covid-19 secara bersasar.

"Pada 24 Mei lalu, jumlah peruntukan fasa pertama ialah RM7.8 juta yang sudah mula diagihkan.

"Bantuan bagi golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diagihkan bermula minggu depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Rosdy berkata, bantuan yang disediakan itu juga berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika ini.

"Seperti mana inisiatif bantuan yang kerajaan negeri berikan sebelum ini, BPP Covid-19 secara bersasar fasa dua ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.

"Antara golongan yang akan mendapat manfaat ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerja, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu kenderaan e-hailing serta sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Begitu juga kepada masyarakat Orang Asli menerusi tok batin serta penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK).

"Selain itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB), ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta penggiat seni.

"Saya sudah meminta supaya pengagihan BPP Covid-19 ini dapat dilaksanakan secepat mungkin dan bakal penerima juga dapat memanfaatkan bantuan yang diterima dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 11:41 AM