Sebanyak 350kg daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas APMM. IHSAN APMM KUALA PERLIS
Sebanyak 350kg daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas APMM. IHSAN APMM KUALA PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 350 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand selepas menahan sebuah bot di muara Kuala Perlis, di sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kejadian berlaku pada 7 malam apabila bot peronda mengesan dua suspek mengemudi bot kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka mengemudi bot kayu keluar dari Kuala Sanglang menuju ke arah sempadan Thailand tetapi bertindak menukar haluan ke daratan sebelum terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Suspek kemudian berenang melarikan diri ke dalam hutan bakau berlumpur berhampiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan enam guni mengandungi 23 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum.

"Daun ketum itu dibalut kemas dengan plastik putih ditinggalkan dalam ruangan hadapan bot terbabit. Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM70,000," katanya.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 5:02 PM