GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Ipoh: Kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini, pada Jumaat lepas disebabkan kehadiran 799 individu yang gagal hadir pada tarikh janji temu ditetapkan aplikasi MySejahtera.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kehadiran beramai-ramai individu terbabit adalah untuk cuba mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu baharu disebabkan semalam adalah hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Kinta yang turut membabitkan Ipoh.

"Jumlah sebenar janji temu yang diberikan melalui MySejahtera bagi tarikh 21 Mei adalah 1,570 orang, namun 799 telah hadir tanpa janji temu bersama pengiring masing-masing sehingga menyebabkan kesesakan sementara pihak pengurusan PPV menyelesaikan pemberian tarikh janji temu baharu.

"Pemberian vaksin di PPV ini bermula 24 Februari lepas dengan purata 1,500 orang sehari dan berjalan lancar serta terkawal. Pihak kami dukacita dengan kejadian kesesakan orang ramai yang berlaku," katanya dalam kenyataan selepas tular di media sosial PPV itu dibanjiri ratusan individu yang hadir tanpa janji temu.

Sehubungan itu, Dr Ding mengingatkan orang ramai untuk hadir mengikut janji temu ditetapkan dan jika gagal, penjadualan semula perlu dilakukan dengan menghubungi Helpdesk MySejahtera.

"Pihak COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) Daerah dan Negeri akan terus mengenal pasti langkah-langkah bagi menambah baik keadaan di PPV supaya kejadian sama tidak berulang selain kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ding berkata sebanyak 298 orang bakal jemaah haji sudah dikenal pasti untuk menerima vaksin dan mereka sudah diberikan tarikh janji temu dua minggu lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 8:34 AM