Md Ali (kiri) menerima tongkat kuasa daripada Kamarulzaman sebagai simbolik serah terima jawatan Pengarah JBPM Sabah hari ini. Foto Juwan Riduan
Md Ali (kiri) menerima tongkat kuasa daripada Kamarulzaman sebagai simbolik serah terima jawatan Pengarah JBPM Sabah hari ini. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan membentuk lebih banyak badan komuniti, bomba bantuan dan sukarelawan di seluruh negeri itu.

Langkah itu bagi memastikan masa tindak balas pasukan bomba ke lokasi kecemasan lebih cepat berikutan keadaan muka bumi negeri berkenaan yang amat luas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata, tindakan itu dijangka akan meningkatkan kadar peratusan ketibaan anggota bomba ke lokasi kecemasan kurang daripada masa ditetapkan.

Menurutnya, ia juga sebahagian usaha daripada meneruskan perancangan sedia ada oleh pengarah JBPM negeri sebelum ini.

"Kita faham kerajaan menghadapi kekangan dari aspek bajet bagi membina lebih banyak balai bomba.

"Oleh yang demikian, kita memerlukan lebih ramai bomba komuniti, bomba bantuan dan sukarelawan bomba yang dapat memainkan peranan penting dalam memastikan kebakaran dapat dikawal sebelum ketibaan pasukan JBPM di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Pengarah JBPM Sabah di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.

Hadir sama adalah bekas Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah dan Timbalan Pengarah JBPM Sabah Zuraidah Latip.

Md Ali berkata, kewujudan sukarelawan bomba itu dapat memastikan lebih banyak harta benda dan nyawa dapat diselamatkan.

"Kita juga akan melaksanakan lebih banyak latihan bagi memperkukuhkan pasukan ini," katanya.

Sementara itu, Md Ali berkata, pihaknya akan memperkuatkan lagi kelengkapan logistik termasuk peralatan penyelamatan dalam menghadapi cabaran bencana banjir.

Katanya, JBPM akan merangka pelan perancangan yang terbaik dalam penugasan kebombaan bagi meningkatkan kecekapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:51 PM