Barang rampasan polis selepas menahan dua lelaki yang membaling mercun bola di SJR berhampiran Plaza Tol Gombak semalam. Foto Ihsan PDRM
Barang rampasan polis selepas menahan dua lelaki yang membaling mercun bola di SJR berhampiran Plaza Tol Gombak semalam. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Tindakan dua lelaki membaling mercun bola ke arah anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Mobile Op Covid-19 mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, , sepasukan polis dari Balai Polis Gombak ketika menjalankan tugas SJR sebelum Plaza Tol Gombak dari arah Gombak menghala ke Bentong ternampak dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun menunggang serta membonceng sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan yang berhenti di tepi jalan.

Menurutnya, tiba-tiba seorang daripada mereka membakar dan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR dan terus melarikan diri.

"Anggota polis kemudiannya bertindak mengejar dan berjaya menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari SJR terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui satu plastik lut sinar di dalamnya mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, hasil siasatan mendapati seorang daripada suspek bertindak membakar dan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR tanpa niat.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap mereka negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 8:34 PM