Mohd Hazem ketika hadir perbicaraan kes bekas Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto Saifullizan Tamadi
Mohd Hazem ketika hadir perbicaraan kes bekas Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto Saifullizan Tamadi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini membangkitkan isu kesahihan tandatangan pada dokumen penting bank bagi urusan pemindahan berjuta-juta ringgit semasa perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammad membangkitkan isu berkenaan ketika menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman, 49, pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.

Wan Aizuddin: Sila lihat tandatangan dalam arahan pemindahan wang membabitkan berjuta-juta ringgit daripada 1MDB Global Investments Limited (1MDB-GIL) kepada beberapa entiti lain. Adakah anda tahu itu tandatangan siapa?

Mohd Hazem: Ya, itu tandatangan Azmi Tahir (Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) dan Terence Geh (Pengarah Eksekutif Kewangan). Saya sudah biasa dengan kedua-dua tandatangan.

Wan Aizuddin: Bolehkah anda mengesahkan bahawa semua tandatangan ini serupa? Nampak lekuk, saiz dan bentuknya?

Mohd Hazem: Maksud anda, anda mahu saya membandingkan kesemua tandatangan dalam dokumen ini?

Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengemukakan bantahan atas alasan saksi bukan pakar tulisan tangan yang boleh mengesahkan tandatangan itu dan beliau tidak boleh memberikan pandangannya berhubung perkara tersebut.

Wan Aizuddin pula membalas bahawa beliau hanya mahu Mohd Hazem menjawab sama ada saksi itu sudah biasa dengan tandatangan Azmi dan Terence dalam arahan pemindahan tersebut.

Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes itu berkata soalan peguam berkenaan adalah di luar pengetahuan saksi kerana beliau bukan pakar namun pembelaan boleh membangkitkan isu itu di akhir kes pendakwaan.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:50 PM