STAFOC terus giat membanteras jenayah terancang.
STAFOC terus giat membanteras jenayah terancang.
Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius menangani Kumpulan Jenayah Terancang (KJT) apabila giat melakukan operasi mengesan dan mengambil tindakan ke atas pelbagai kumpulan jenayah ini.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sejak Januari 2016, pihaknya menggerakkan operasi dan mengambil tindakan ke atas pelbagai kumpulan jenayah terancang.

Katanya, operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu dijalankan bersama Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) selain dibantu JSJ peringkat kontinjen di seluruh negara.

“Kelebihan melalui tindakan polis terhadap kumpulan jenayah terancang ini dapat mengheret semua individu terbabit dalam sesebuah kumpulan jenayah terancang ke muka pengadilan dan menahan reman setiap mereka selama 28 hari sebelum pertuduhan dibuat.

“Berdasarkan hukuman sebelum ini, tindakan hanya boleh diambil terhadap pelaku (suspek utama) serta orang yang bersubahat dengan kes jenayah terancang namun orang yang mengarahkannya bebas disebabkan ketiadaan bukti kukuh mengaitkannya,” katanya.

Beliau berkata, dengan mengguna pakai Seksyen 130 V Kanun Keseksaan, atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan Seksyen 130 W, kanun yang sama atas kesalahan membantu kumpulan jenayah terancang, tindakan menyeluruh dapat dilakukan secara besar-besaran.

“Setiap tindakan dijalankan mengikut Kesalahan di bawah Bab 6B (Jenayah Terancang) ialah satu kategori kesalahan keselamatan di mana prosedur dan pendakwaan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ini kerana kesalahan dilakukan setiap kumpulan jenayah terancang di negara ini boleh mengganggu-gugat keharmonian,” katanya.

Huzir memberitahu, sejak tindakan khas ke atas kumpulan jenayah terancang ini dilakukan, statistik kes membabitkan kesalahan serius seperti senjata api, jenayah kekerasan serta pemerasan dan ugutan mencatatkan penurunan.

Kumpulan Jenayah Terancang (KJT) satu definasi yang dikelaskan kepada sesebuah kumpulan atau organisasi terbabit dalam kesalahan jenayah iaitu dua individu atau lebih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:37 AM