Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
Rafidah Mat Ruzki dan Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kerajaan yakin Jun, Julai dan Ogos menjadi kemuncak kepada pemberian vaksin Covid-19 di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berdepan kekangan bekalan namun masalah berkenaan diyakini akan dapat diatasi bulan depan dengan penghantaran lebih banyak bekalan vaksin bermula Jun.

"Kerajaan yakin pada Jun, Julai dan Ogos akan menjadi kemuncak pemberian vaksin Covid-19," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Pada masa sama, Khairy berkata Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, yang membotolkan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China, tidak berdepan dengan sebarang masalah pembekalan vaksin berkenaan, selain pihaknya yakin syarikat itu mampu memenuhi permintaan terhadap ubatan itu mengikut garis masa ditetapkan.

Beliau berkata, selain pembotolan vaksin yang dibuat di fasilitinya di Puchong, dekat sini, syarikat itu juga membawa masih vaksin sedia terbotol dari China untuk meningkatkan lagi pemberian vaksin Covid-19 yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

"Pharmaniaga membawa masuk tambahan vaksin tersedia atas inisiatif sendiri untuk membantu usaha kerajaan melalui PICK.

"Saya rasa pemerolehan ini akan membantu meningkatkan proses pemberian vaksin pada Jun," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, secara kapasiti purata pengeluaran Pharmaniaga adalah sebanyak 500,000 dos seminggu.

Katanya, syarikat itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum ia boleh digunakan untuk PICK yang mengambil masa 10 minggu.

Khairy berkata, ia bagi memastikan keselamatan vaksin berkenaan sebelum ia digunakan.

"Proses ketat yang perlu dipatuhi serta pemeriksaan yang dilaksanakan NPRA, ia bermakna produk yang keluar dari fasiliti Pharmaniaga, mempunyai kualiti yang sama dengan vaksin dari fasiliti Sinovac di Beijing, China.

"Justeru, saya mahu menafikan dan menyanggah dakwaan bahawa produk keluaran Pharmaniaga itu adalah berkualiti rendah berbanding keluaran dari fasiliti Sinovac di China.

"Dakwaan ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan jika kami dapat tahu siapa yang mengeluarkan dakwaan ini, kami akan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadapnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 4:11 PM