Idris Jaffar mengagihkan pelitup muka kepada gelandangan di Kampung Hulu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Idris Jaffar mengagihkan pelitup muka kepada gelandangan di Kampung Hulu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Bagi membantu meningkatkan kawalan pandemik Covid-19, seorang bekas tentera, Idris Jaafar, 56 sanggup 'menjelajah' lokasi gelandangan bagi mengedarkan pelitup muka kepada golongan terbabit.

Idris berkata, dia melakukan rondaan di sekitar Kampung Hulu, Bandar Hilir, Banda Kaba, Jalan Bunga Raya dan persisiran Sungai Melaka di sini, dalam usaha untuk mengagihkan pelitup muka secara percuma.

Menurutnya, ramai gelandangan didapati tidak memakai pelitup muka sekali gus mendedahkan mereka terhadap jangkitan virus itu.

Malah ada juga gelandangan menggunakan pelitup muka yang sudah lama dan tidak ditukar berdasarkan warnanya yang lusuh sekali gus mengundang risiko jangkitan.

"Usaha saya ini bertujuan memberi kesedaran selain langkah pencegahan pandemik terutama dikala situasi pandemik yang masih membimbangkan.

"Saya hanya mengeluarkan kos RM10 untuk sekotak pelitup muka dan mengedarkan kepada gelandangan selain kepada mereka yang kebetulan ditemui tidak memakai pelitup muka itu.

"Walaupun usaha itu kecil sekurang-kurangnya saya dapat membantu untuk kesejahteraan komuniti itu yang sentiasa memerlukan perhatian masyarakat," katanya tadi.

Idris berkata, dia turut menghulurkan sedikit sumbangan makanan dan wang tunai kepada golongan gelandangan di bandar itu yang rata-ratanya berkeliaran di lokasi tumpuan ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:59 PM