RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Usahawan dikompaun RM1,500 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berceramah kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mengesan video berdurasi 49 saat tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki tidak memakai pelitup muka.

"Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku 11.30 pagi semalam ketika individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk 'ubah hidup' kepada 20 gelandangan di pusat transit berkenaan.

"Polis kemudian memanggil lelaki berusia 34 tahun itu untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.20 petang tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada lelaki terbabit kerana melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, tindakan diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kegagalan mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:21 PM