MOHAMAD Zainal melakukan tinjauan di PPV WTCKL, hari ini. FOTO NSTP
MOHAMAD Zainal melakukan tinjauan di PPV WTCKL, hari ini. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penerima vaksin yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dan menjalani kuarantin di rumah diminta supaya tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk di PPV World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sekiranya mempunyai temu janji untuk mengambil vaksin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan itu adalah langkah bagi mengelak individu berkenaan menjadi penyebar virus kepada penerima vaksin lain selain petugas perubatan serta anggota keselamatan yang bertugas.

"Bagi individu dikategorikan sebagai kontak rapat dan menjalani kuarantin di rumah, mereka tidak perlu datang ke PPV walaupun mempunyai temu janji pengambilan vaksin.

"Mereka boleh membuat temu janji baharu dengan program vaksin PPV. Jika mereka dikesan hadir ketika tempoh kuarantin di rumah, ia dianggap melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan boleh dikenakan kompaun," katanya kepada ditemui selepas melakukan tinjauan di PPV WTCKL, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, temu janji pengambilan vaksin bagi mereka yang dikategorikan sebagai kontak rapat yang perlu menjalani kuarantin di rumah akan terbatal secara automatik.

"Jangan sesekali datang ke PPV jika anda dikuarantin kerana ia akan membahayakan semua penerima lain, termasuk petugas barisan hadapan yang berkampung di sini untuk menjalankan tugas pemberian vaksin.

"Apa yang penting adalah mematuhi SOP dan arahan dikeluarkan. Jangan cemas, bimbang atau khuatir kerana temu janji baharu individu berkenaan akan ditetapkan oleh PPV kemudian.

"Individu yang ingkar dengan arahan itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Beliau menasihatkan semua penerima vaksin yang hadir ke PPV di WTCKL supaya mematuhi waktu temu janji masing-masing bagi mengelak berlaku kesesakan.

"Penerima vaksin dinasihatkan supaya tidak hadir terlalu awal atau lambat pada temu janji berkenaan. Ikut masa yang sudah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan," katanya.

Mengulas mengenai jumlah kompaun dikeluarkan pihaknya di PPV WTCKL, beliau berkata, tiada kompaun yang dikeluarkan kerana mahu penerima vaksin hadir dengan tenang, selesa dan selamat tanpa sebarang gangguan.

"Kami sentiasa membuat pengumuman di PPV bagi memastikan penerima vaksin mematuhi SOP sepanjang berada di premis ini bagi memudahkan urusan semua pihak.

"Tindakan kompaun adalah langkah terakhir yang diambil sekiranya ada individu yang berdegil dan enggan mematuhi SOP.

"Tinjauan saya pada hari ini mendapati urusan dilakukan dalam keadaan lancar serta lebih sistematik dan tersusun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:28 PM